Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya
dia berkata: "Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda
mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a
Kemudian baginda memandang kami sambil
berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah
memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan
memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar
bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi
peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."
"Allah berfirman: Kebahagiaan dan
kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin
menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan
syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."
Kemudian kami bertanya: "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Ajalku telah
hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke
Jannatul Makwa serta ke Arsyila."
Kami bertanya lagi: "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab: "Salah seorang ahli bait."
Kami bertanya: "Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."
Kami bertanya: "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?" Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.
Kemudian baginda bersabda:
"Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah
memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku,
di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu
semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah
sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat
Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan
sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari
pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu
semua."
SEMAKIN TENAT
Semenjak hari itu, Rasulullah saw
bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari, ramai
yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat
baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sehari menjelang baginda
wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius.
Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya,
dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:
"Assalamualaikum ya Rasulullah?"
Kemudian dia berkata lagi: "Assolah yarhamukallah."
Fatimah menjawab: "Rasulullah dalam keadaan sakit."
Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid.
Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke
tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi.
Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk,
Rasulullah saw bersabda: "Saya
sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan
sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat."
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan
tangan di atas kepalanya sambil berkata: "Aduhai, alangkah baiknya
bila aku tidak dilahirkan ibuku?" Kemudian dia memasuki masjid dan
memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.
Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong,
sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan
perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan.
Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga
terdengar oleh Rasulullah saw.
Baginda bertanya: "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?"
Siti Fatimah menjawab: "Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."
Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali
bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka
baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.
Setelah itu baginda melihat kepada
orang ramai dan bersabda: "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada
dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah
penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada
kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan
dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam
akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."
MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU
Pada hari esoknya iaitu pada hari
Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui
Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh
Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut.
Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk.
Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk
dan hendaklah dia kembali sahaja.
Maka turunlah Malaikat Maut untuk
menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa.
Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata: "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"
Fatimah pun keluar menemuinya dan
berkata kepada tamunya itu: "Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah
sekarang dalam keadaan sakit."
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"
Akhirnya Rasulullah saw mendengar
suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah:
"Siapakah yang ada di muka pintu itu?"
Fatimah menjawab: "Seorang lelaki
memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan
sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan
sukma."
Rasulullah saw bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia?"
Fatimah menjawab: "Tidak wahai baginda."
Lalu Rasulullah saw menjelaskan:
"Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan,
pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.
Kemudian Rasulullah saw bersabda: "Masuklah, wahai Malaikat Maut."
Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan: "Assalamualaika ya Rasulullah."
Rasulullah saw pun menjawab: "Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"
Malaikat Maut menjawab: "Saya datang
untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya
lakukan. Jika tidak, saya akan pulang."
Rasulullah saw bertanya: "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"
Jawab Malaikat Maut: "Saya tinggal dia di langit dunia."
Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.
Maka bersabdalah Rasulullah saw: "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"
Jibril menjawab: "Ya, wahai kekasih Allah."
KETIKA SAKARATUL MAUT:
Seterusnya Rasulullah saw bersabda: "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"
Jibril pun menjawab: "Bahawasanya
pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah
berbaris untuk menyambut rohmu."
Baginda saw bersabda: "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"
Jibril menjawab lagi: "Bahawasanya
pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias,
sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya
menanti kedatangan rohmu."
Baginda saw bersabda lagi: "Segala
puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang
disediakan Allah untukku?"
Jibril menjawab: "Aku memberikan
berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai
pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."
Kemudian Rasulullah saw bersabda:
"Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril
beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku."
Jibril a.s. bertanya: "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"
Rasulullah saw menjawab: "Tentang
kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca
Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang
berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi
orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"
Jibril menjawab: "Saya membawa
khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku
telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan
umatmu memasukinya terlebih dahulu."
Maka berkatalah Rasulullah saw: "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."
Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.
Ali r.a. bertanya: "Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"
Rasulullah menjawab: "Adapun yang
memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan
airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam
Syurga."
Kemudian Malaikat Maut pun mulai
mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut,
baginda berkata: "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."
Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.
Lalu Rasulullah saw bertanya: "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"
Jibril menjawab: "Wahai kekasih
Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda
sedang merasakan sakitnya maut?"
Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw.
KESEDIHAN SAHABAT
Berkata Anas r.a.: "Ketika aku lalu
di depan pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis
sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera,
wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah
kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih tikar
daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam
kerana takut Neraka Sa'ir."
Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari
Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata:
"Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan
pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun.
Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang. Kemudian orang
itu berkata kepadaku: Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz,
padahal Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?"
Muaz terbangun dari tidur dengan rasa
takut, lalu dia mengucapkan: "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim."
Lalu setelah itu dia mengerjakan solat. Pada malam seterusnya, dia
bermimpi seperti mimpi malam yang pertama.
Muaz berkata: "Kalau seperti ini,
bukanlah dari syaitan." Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga
didengar sebahagian penduduk Yaman. Pada keesokan harinya, orang ramai
berkumpul lalu Muaz berkata kepada mereka: "Malam tadi dan malam
sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila
Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf
(al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku." Setelah Muaz menerima
Mushaf, lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula."
(Surah Az-Zumar: ayat 30)
Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia
tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi
dan dia nampak firman Allah yang berbunyi: "Muhammad itu tidak lain
hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang
rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang
(murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat
mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?" (Surah
Al-lmran: ayat 144) Maka Muaz pun menjerit lagi: "Aduhai
Abal-Qassim. Aduhai Muhammad."
Kemudian dia keluar meninggalkan
Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk
Yaman, dia berkata: "Seandainya apa yang ku lihat ini benar, maka akan
meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita
akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."
Kemudian dia berkata: "Aduhai,
sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad saw." Lalu dia pun pergi
meninggalkan mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga
hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara
halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang
bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."
Lalu Muaz mendekati sumber suara itu.
Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut: "Bagaimana
khabar Rasulullah saw?" Orang tersebut menjawab: "Wahai Muaz,
sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia." Mendengar ucapan
itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya.
Dia memanggil Muaz: "Wahai Muaz, sedarlah dan bangunlah."
Setelah Muaz sedar kembali, orang
tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu
Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz
melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya.
Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis,
dia pun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di
Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang
mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: "Asyhadu Allaa Ilaaha
Illallah?" Muaz menyambungnya: "Wa Asyhadu Anna Muhammadur
Rasulullah." Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak
sedarkan diri lagi.
Pada saat itu, di samping Bilal bin
Rabah ada Salman Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal: "Wahai
Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia
adalah Muaz yang sedang pengsan." Setelah Bilal selesai azan, dia
mendekati Muaz, lalu dia berkata: "Assalamualaika, angkatlah kepalamu
wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah saw, baginda bersabda:
Sampaikanlah salamku kepada Muaz." Maka Muaz pun mengangkatkan
kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang
menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian
dia berkata: "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada
baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai
Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a."
Setelah sampai di depan pintu rumah
Siti Aisyah, Muaz mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa
rahmatullahi wa barakatuh." Yang keluar ketika itu adalah Raihanah,
dia berkata: "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah." Kemudian
Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: "Assalamualaikum ya
ahlil bait."
Siti Fatimah menyambut salam tersebut,
kemudian dia berkata: "Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling
alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin
Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw." Kemudian Fatimah berkata
lagi: "Masuklah wahai Muaz." Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan
Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar,
Fatimah lalu berkata kepadanya: "Saya mendengar Rasulullah saw
bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya
bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama." Kemudian Muaz
bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur
Rasulullah saw.